Pelakon Diana Danielle menafikan wataknya di dalam Gol & Gincu Vol. 2 (GG2) adalah sebagai menggantikan karakter pelakon Fazura dalam filem pertama yang dihasilkan 13 tahun lalu.

Diana berkata dia menggalas watak baharu iaitu sebagai Zak yang mempunyai karakter yang berbeza.

“Saya tak boleh ‘overdo’ Fazura kerana dia yang memulakannya dalam filem pertama dan saya kini menyambungkannya.

“Lagipun watak saya dan dia tidak sama malah nama karakter kami juga berbeza.

“Kehadiran saya dalam filem ini juga bukan untuk bersaing dengan sesiapa. Secara peribadi, saya terima tawaran ini kerana impak yang ditinggalkan filem pertama,” katanya kepada Gempak.

Diana ditemui ketika pelancaran Gol & Gincu Vol. 2 di Pizza Hut, Empire City Mall, Petaling Jaya, pada Isnin.

Bagaimanapun, Diana memberitahu konsep filem itu lebih kurang sama dengan filem asalnya.

“Konsep cerita ini masih lebih kurang sama dengan filem asal iaitu memberi focus keapda futsal dan fesyen namun, jalan ceritanya tidak sama dengan produksi pertama.

“Saya bukan peminat futsal atau bola sepak, tetapi demi lakonan, saya bersedia menggalas apa sahaja cabaran yang datang," katanya lagi.

Filem arahan sulung Umi Salwana Omar itu turut dibarisi pelakon Ummi Nazeera serta dua pelakon asalnya Sharifah Amani dan Sazzy Falak.

Ia juga turut dibintangi oleh pelakon lelaki Syafiq Kyle dan Aedy Ashraf serta wajah baru seperti Jad Hidhir, Intan Serah, Tiara Anchant, Nik Nasuhan, Annabel Michael, Grace Ng dan Iezahdiyana Alaudin.

Astro Gempak akan menjadi hos kepada laman web rasmi GG2 di mana penonton yang belum berpeluang menonton filem asal yang dihasilkan pada tahun 2005 dapat menyaksikan dan mengetahui lebih lanjut mengenai barisan pelakon, kisah di sebalik tabir dan pelbagai promosi hebat GG2.

GG2 mengisahkan tentang Zak (Diana Danielle) dan Yaya (Ummi Nazeera) pelajar yang memiliki nama asal yang sama iaitu Zakiah tetapi personaliti yang jauh berbeza.

Akibat tercetusnya pergaduhan mereka di khalayak ramai sehingga tular di media sosial, mereka elah dikenakan tindakan disipilin untuk melakukan kerja amal.

Zak dan Yaya memilih untuk melakukan kerja amal di rumah remaja bermasalah yang dikenadlikan oleh Jijie (Sharifah Amani). Pelbagai konflik berlaku ketika mereka cuba membantu Jijie dan gadis-gadis tersebut.

Karya terbitan Red Films itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 Oktober ini.