Kisah guru mengajar pelajarnya yang tidak berdisiplin sudah acapkali diterjemahkan ke layar perak mahupun TV tapi lakonan Donnie Yen sebagai Guru Pengajian Am menerusi filem terbarunya, Big Brother memberi mesej yang mendalam untuk 'dihadam' penonton.

Plot yang mudah difahami dari awal apabila Donnie sebagai Cikgu Chen mempunyai impian untuk mengajar di sebuah sekolah menengah.

Tanpa sebarang pengalaman sebagai pengajar, dia berdepan cabaran mendisiplinkan pelajar-pelajar kelas paling nakal, 6B.

Mengenali pelbagai karakter pelajar bermasalah ini khususnya 5 sekawan, Cikgu Chen yang mempunyai tahap kesabaran yang tinggi juga mempunyai falsafah hidup tinggi yang dikongsi bersama pelajarnya.

"Jika awak rasa dunia ini tidak adil, lakukan sesuatu agar nampak awak hebat," pesannya pada salah seorang pelajar yang bergaduh.



Cikgu Chen yang cukup bersemangat mengubah sikap pelajar kelas itu mengambil pendekatan memahami latar belakang pelajar terbabit daripada bersikap menghukum.

Babak Cikgu Chen mengajak seorang pelajar dari Pakistan bernama Gordon yang belajar di Hong Kong agar berani membuat persembahan depan khalayak dan bagaimana cikgu itu memujuk seorang bapa pada pelajar yang kaki mabuk menyesali perbuatan lampaunya, antara mesej yang mendalam untuk disampaikan dalam filem ini.

"Jika kita hilang harapan pada pelajar bukankah mereka juga hilang harapan pada diri sendiri," kata-kata Cikgu Chen pada guru lain agar tidak berputus asa dalam mendidik pelajar.

Kata-kata positif penuh semangat Cikgu Chen semakin lama meresap jiwa pelajar nakal terbabit sehingga mereka mula berubah.

Tugas sebagai guru memang bukan mudah apatah lagi bila berlaku kes salah seorang pelajar Cikgu Chen membunuh diri dan ini juga menjadi topik media massa di sana yang berbincang sama ada pemasalahan ini berpunca daripada sistem pendidikan Hong Kong.



Di sebalik tema dan kisah pewatakan filem ini mahu diceritakan pada penonton, sudah tentu tarikan utama filem ini adalah Donnie Yen yang cukup dikenali ramai menerusi watak Ip Man yang handal berlawan.

Pastinya, jika Donnie berlakon, aksi berlawan sememangnya dinantikan ramai peminat. Memang ‘best’!

Tiada elemen cinta dalam filem ini cuma ia sentiasa menyampaikan mesej yang sangat mendalam pada penonton untuk memahami tugas seorang guru.

Apapun, filem ini dapat dijadikan bahan motivasi paling bagus buat guru sebenar yang mungkin hilang semangat dalam mendidik pelajar. Guru wajib tonton filem ini. Ingat pesan Cikgu Chen, "You can do it!".

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook @donnieyen.asia