Sekian lama peminat mengenali lagu popular Bertakhta Di Hati, Farahdhiya akhirnya muncul dengan single terbaru berjudul Pujangga.

Jelasnya, lagu ciptaan komposer baru dikenali Bulan dan Bintang itu menampilkan genre pop dengan suntikan elemen country dan catchy.

"Bagi saya lagu sedap yang kita rasa serasi, sama ada ciptaan komposer baru lama atau baru tiada masalah. Jika kita tak beri peluang pada orang baru siapa lagi," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, promosi lagu tersebut belum lagi dibuat selepas ia siap dirakam pada Ramadan lalu.

"Saya pernah menyanyi ‘fast song’ dalam album lepas tapi ini adalah pertama kali saya ‘push’ lagu sebegini jadi single.

"Kita tengok peredaran masa sekarang tiada masalah sangat lagu sebegini diterima asalkan perlu sokongan media. Lagu kalau sedap tak main di radio pun tak guna juga," katanya.

Bersaing dengan ramai bakat baru, Faradhiya yang ditemui di Hannan Medispa, Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini melihat faktor aura seorang penyanyi sangat subjektif.

"Jika menilai sesebuah lagu, tak payah bayangkan siapa penyanyinya jika lagu itu sedap.

"Bagi saya siapa saja yang mempunyai suara sedap untuk menyanyi boleh pergi.

"Bukan soal ada aura atau tidak apatah lagi lagu penyanyi dari YouTube pun boleh meletup dan ada juga segelintir daripada mereka yang berkualiti," katanya.

Faradhiya memberitahu dia sanggup menggunakan duit sendiri untuk menghasilkan single terbaru kali ini yang mengambil masa selama 3 bulan untuk disiapkan.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak