Pelakon kacak Aeril Zafrel mendedahkan sikap segelintir pengguna media sosial yang terlebih berani hingga sanggup menghantar mesej-mesej nakal kepadanya.

Namun, Aeril menganggap kiriman mesej nakal seperti mengajaknya berkahwin hanyalah gurauan peminatnya.

"Memang ada yang menawarkan diri untuk berkahwin dengan saya tetapi saya anggap itu sekadar gurauan daripada peminat.

"Saya pun tidak risau sebab Wawa percayakan saya.

"Situasi ini tak akan jadi kalau kita tidak layan, pada tahap sekarang saya lebih utamakan keluarga lebih daripada segalanya," katanya.

Ditanya tentang cemburu Wawa pada Aeril, jelas pelakon yang bakal tampil di pentas teater Tanah Akhirku itu, mereka telus dalam segala hal.

"Dia tahu kata laluan semua akaun media sosial malah akaun bank saya dan saya pun tidak pernah berselindung apa-apa daripadanya.

"Selepas lima tahun berkahwin, kita lebih mengenali pasangan dan proses kematangan itu kami sedang lalui sama-sama," katanya.

Aeril dan Wawa kini dikurniakan sepasang cahaya mata, Ahmad Fakharuddin Attar, 5, dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa, 3 tahun.

Dalam perkembangan lain, Aeril bakal muncul di pentas teater Tanah Akhirku pada 28 Ogos ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Teater sempena bulan kemerdekaan itu turut dibintangi Mei Fen Lim, Angeline Tan, Izzue Islam dan ramai lagi.

Tiket-tiket berharga RM40 hingga RM350 sudah mula dijual menerusi http://airasiaredtix.com.