Pelakon Emma Maembong mengakui dia mahu melakonkan watak antagonis dalam sesebuah drama atau filem.

Menurut Emma, sudah lama dia mahu membawakan watak sebagai orang jahat kerana selama dia berada dalam bidang lakonan, belum pernah dia mendapat tawaran untuk menjayakan watak tersebut.

"Emma teringin sangat nak bawa watak sebagai orang jahat sebab tak pernah lagi dapat watak sebegitu.

"Setiap kali dapat tawaran lakonan, mesti Emma akan tanya sama ada watak jahat atau tidak.

"Namun pihak produksi mengatakan muka Emma tak sesuai untuk watak seperti itu padahal hakikatnya perwatakan Emma kasar," katanya.

Tambah pelakon drama Awak Suka Saya Tak ini, dia tidak kisah tidak menjadi teraju utama asalkan dapat memegang watak yang diimpikan.

"Emma tidak kisah menjadi pelakon pembantu asalkan dapat merasa pengalaman membawa watak tersebut," katanya kepada Gempak.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail berkata, buat masa ini dia hanya menerima watak sebagai mangsa keadaan sama seperti lakonannya sebelum ini.