Penyanyi Andi Bernadee, 27, menjadi peserta kedua yang tersingkir di konsert ketiga Big Stage malam tadi.

Menurut Andi yang berduet bersama Indah Ruhaila menyanyikan lagu Tak Pernah Hilang nyanyian asal Kaer dan Amylea, dia sudah menjangkakan keputusan terbabit.

"Saya sudah menjangkakan mengenai penyingkiran ini. Ramai yang cakap saya tidak mempunyai peminat yang ramai untuk meraih undian kerana masih baru.

"Usaha mempromosikan diri di media sosial sudah saya lakukan, malah sebelum persembahan saya turut mengingatkan pengikut mengenai cara mengundi di TikTok," katanya.

Tambah pemilik nama sebenar Andi Azrul Andi Mapangile ini, dia menerima dan pasrah dengan keputusan yang telah ditentukan.

"Saya bersetuju dengan keputusan malam ini serta pasrah menerimanya.

"Saya hormati keputusan yang dibuat kerana setakat ini sahaja rezeki saya dalam pertandingan ini.

"Apa-apa pun, saya sudah buat yang terbaik dan penyingkiran malam ini adalah secara bermaruah. Tiada apa yang saya sesalkan," katanya kepada Gempak.

Andi ditemui usai program realiti Big Stage di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Jangan lepaskan peluang untuk terus menyaksikan pertarungan 8 bintang muda dalam rancangan realiti baharu Big Stage.

Big Stage disertai oleh Sarah Suhairi, Ariff Bahran, Afieq Shazwan, Tajul, Syafiq Farhain, Baby Shima, Sissy Iman dan Wani Kayrie.

Rancangan yang ditaja oleh Vivo dan ditrendkan oleh TikTok ini akan disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Big Stage turut boleh dinikmati melalui platform digital, ASTRO GO dan 'on demand'.

Layari laman web www.bigstage.com.my untuk segala informasi mengenai program ini!