Pelakon Ezzaty Abdullah mengakui mempunyai alasan tersendiri kenapa enggan menghantar anaknya, Harum Dalia ke pusat asuhan.

Menurut Ezzaty, dia selesa untuk menjaga anaknya secara bergilir-gilir bersama suami, pelakon Azwan Kombos di rumah walaupun sibuk dengan tugasan harian.

"Sebagai seorang yang pernah bekerja di taska, saya tidak mahu menyerahkan Dalia ke pusat asuhan.

"Selalunya, pusat asuhan akan menggunakan sudu yang sama untuk menyuapkan semua kanak-kanak ketika memberi makan.

"Kadang-kadang, anak-anak ini akan menggunakan botol yang sama ketika minum dan ada kalanya ia tidak dicuci dengan bersih.

"Jadi, anak-anak ini mudah untuk terkena penyakit kerana berjangkit dengan orang lain akibat berkongsi bekas makanan dan minuman yang sama.

"Disebabkan itu, saya dan suami mengambil keputusan untuk bergilir-gilir menjaga anak dirumah," katanya kepada Gempak.

Ezzaty berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan drama bersiri KL Gangster Underworld di Suzie Wong, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KL Gangster Underworld akan bersiaran di platform penstriman video-atas-permintaan (VOD), iflix.

Selain Ezzaty, drama itu dibintangi pelakon handalan seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Azhan Rani, Dynas Mokhtar, Fezrul Khan, Fadlan Hazim dan Hasnul Rahmat.