Kerajaan Negeri mengarahkan sebuah kilang ais, yang terletak bersebelahan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Klang supaya dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai jauh dari kawasan perumahan dan kawasan sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata pemilik premis berkenaan perlu memindahkan operasi kilang itu secepat mungkin bagi mengelak berulangnya kejadian kebocoran gas ammonia.

"Minggu depan cuti sekolah dan saya rasa ia adalah waktu yang tepat untuk kilang ais ini berpindah, paling penting tangki gas ammonia yang ada di kilang ini perlu dipindahkan," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah berkenaan di sini, hari ini.

Menurut Hee, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga telah membatalkan lesen operasi kilang itu bermula hari ini berikutan berlaku kebocoran kali kedua semalam.

Tambah beliau, pihaknya turut akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor untuk mengadakan bancian ke atas kilang ais dan kilang menyimpan gas serta bahan kimia berbahaya bagi mengetahui jumlah dan lokasi kilang berkenaan.

"Ia adalah sebagai langkah awal untuk mengenalpasti jika terdapat kilang seperti ini terletak dekat dengan kawasan sekolah dan perumahan, jika ada ia akan diarah berpindah ke kawasan yang lebih sesuai," katanya.

Dalam kejadian pagi semalam, sekolah itu terpaksa ditutup selepas sekali lagi berlaku kebocoran gas ammonia di kilang ais terbabit.

Menurut Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim, tujuh pelajar sekolah itu dikejarkan ke dua hospital berasingan selepas mengadu sakit tekak dan sesak nafas.


Sumber: Bernama