Dua buah kumpulan kugiran tempatan terkenal iaitu Hujan dan Masdo bakal mengadakan Konsert Hujan X Masdo.

Konsert tersebut akan berlangsung pada 6 Oktober 2018 bertempat di Pintu 2, MAEPS Serdang, jam 8.30 malam.

Meskipun konsert tersebut dianggarkan bakal berlangsung dalam dua bulan lagi, namun lebih 1,000 tiketnya sudah terjual setakat ini.

Pihak penganjur sudah menetapkan untuk meletakkan had kapasiti penonton konsert sebanyak 2500 sahaja namun sekiranya terdapat permintaan yang lebih banyak, kapasiti mungkin akan ditambah.

Kedua-dua kumpulan yang pertama kali berkolaborasi itu bakal mengadakan persembahan berkonsep ‘battle of the bands’ di mana kedua-dua kumpulan akan ‘bertarung’ untuk memberikan persembahan terbaik.

Menariknya lagi, mereka juga bakal mengadakan segmen tribut khas yang didedikasikan kepada pergerakan kumpulan-kumpulan ‘Indie’ tempatan.

Seperti yang diketahui ramai Hujan bukanlah nama baru dalam industri muzik tempatan dan telah lama bertapak di Malaysia sebagi salah sebuah kumpulan Indie yang paling berjaya. Muzik yang mereka tampilkan juga mendapat perhatian pencinta muzik luar seperti Indonesia Singapura Australia dan banyak lagi.

Sementara kugiran Masdo pula merupakan kumpulan yang agak baru muncul di arus perdana muzik tempatan dan turut mendapat perhatian oleh ramai pihak. Malah kemunculan mereka boleh dibanggakan kerana biarpun agak baru dikenali oleh peminat muzik tanah air, lagu-lagu serta gaya persembahan mereka menjadi tular dan berjaya mengumpul ramai pengikut serta peminat.

Konsert ini bakal diterajui dan diterbitkan oleh Rosli Mohamed, yang juga pengasas CST Production sejak tahun 2005 lagi.

Buat julung-julung kali, Rosli akan bekerjasama dengan Dgrandstage Events untuk menerbitkan konsert mereka yang pertama. Dia juga bakal memberikan sentuhan baru dalam penerbitan konsert ini dengan menggabungkan karya videografi ke dalam persembahan acara.

Penonton dijangka akan dapat meyaksikan sebuah pertunjukan bunyi dan cahaya yang hebat dan bakal digambarkan dengan ajnas input video kreatif yang akan dipaparkan di layar LED.

Tiket konsert sudah pun mula dijual dan terdapat hadiah istimewa lagi eksklusif buat mereka yang memesan tiket konsert lebih awal.

Tiket-tiket ‘earlybird’ ini boleh didapati di ilassotickets.com atau dengan menghubungi talian 03-21706333 / 010-3837552.

Malah pihak penganjur baru sahaja diberitahu bahawa tiket Rock Zone dengan sesi ramah mesra atau ‘meet and greet’ pada harga RM200 telahpun habis dijual.

Untuk itu harga tiket yang tinggal adalah seperti berikut: Rock Zone : RM150 + hadiah percuma (tanpa meet and greet/ sesi ramah mesra) Zone 1 : RM100 + Beg percuma Zone 2 : RM50 + ‘Wristband’ percuma Tawaran tiket ‘early bird’ bermula dari sekarang hingga 9 September 2018