Penyanyi Ikhwan Fatanna, 28, akui lebih selesa membawa lagu berkonsepkan ketuhanan yang santai.

Ikhwan atau nama sebenarnya Ikhwan Fatanna Mokhtar berkata dia mahu mengekalkan konsep berkenaan kerana tidak ramai memilih genre tersebut.

"Saya memang lebih selesa dengan konsep ketuhanan yang lebih santai.

"Walaupun konsep ketuhanan ini kelihatan agak berat bagi orang lain tetapi saya tetap ingin mencuba.

"Saya masih ingin kekalkan konsep itu sebab tak ramai yang buat genre muzik itu.

"Ramai penyanyi sekarang lebih memilih genre balada.

"Buat masa terdekat ini, saya belum ada perancangan untuk membawa genre lagu yang lain," kata Ikhwan kepada Gempak.

Penyanyi yang popular dengan lagu Bismillah itu memberitahu bagaimanapun dia tetap menulis lagu cinta namun ia akan diberikan kepada penyanyi lain untuk membawanya.

"Lagu-lagu berkonsepkan cinta yang saya tulis biasanya saya akan berikan kepada penyanyi lain untuk menyanyikannya," katanya.

Ikhwan ditemui ketika majlis pelancaran dan muzik video, Amir Masdi berjudul Puas di Red Box Karaoke, The Gardens Mid Valley, kemarin.

Puas merupakan karya ciptaan penuh Ayden Ali bersama Ikhwan Fatanna.