Selepas single Pemilik Cinta dan Waktu, penyanyi Amir Masdi akhirnya muncul dengan single terbaru, Puas.

Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 22, berkata ia kemunculannya selepas lebih setahun menyepi tanpa karya terbaru.

"Sebenarnya saya mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan lagu baru kerana ingin memilih lagu yang sesuai.

"Saya tidak mahu bersikap terburu-buru mengeluarkan lagu baru.

"Saya percaya keserasian antara lagu dan penyanyi, sebab itu saya ambil masa untuk meneliti dan memilih lagu yang saya suka.

"Tetapi bila sudah jumpa lagu yang saya suka, tanpa berlengah lagi saya terus masuk studio rakaman," katanya kepada Gempak.

Amir ditemui ketika majlis pelancaran single dan muzik video terbaru di Red Box Karaoke, The Gardens Mid Valley.

Tambah bekas juara akademi fantasia (AF) 2016, dia berasa gementar menanti penerimaan pendengar muzik tempatan.

Amir juga berharap single Puas ini mendapat sambutan yang lebih baik daripada lagu-lagu nyanyiannya terdahulu kerana dia telah berikan karya yang terbaik kepada pendengar.

Puas hasil karya ciptaan penuh Ayden Ali bersama Ikhwan Fatanna.

Single ini boleh didengari di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Joox, Apple Music, iTunes, Deezer dan juga KKBox.

Video muzik rasmi Puas juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.