Penyanyi baharu, Afieq Shazwan, 21, mengakui persaingan pertandingan nyanyian realiti, Big Stage sangat sengit.

Afieq atau nama sebenarnya Muhammad Shafieq Shazwan Zamros berkata dia takut berhadapan dengan kesemua bintang program realiti tersebut kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

"Sebenarnya saya takut melihat kehebatan bintang-bintang lain. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kepakaran dalam diri.

"Kalau dilihat dari segi vokal dan tarian, memang tidak dapat disangkal lagi, Wani Kayrie sangat bagus. Bagi saya, tidak semua orang mampu menyanyi sambil menari.

"Melihat kepada peserta lelaki pula, saya berasa tercabar dengan kelebihan yang ada pada Ariff Bahran.

"Selain itu, dari segi susunan lagu dan kreativiti memang Sissy Iman yang menjuarai. Dia bukan calang-calang peserta kerana sebelum ini dia pernah terlibat dengan pertandingan-pertandingan berprestij," katanya kepada Gempak.

Afieq memberitahu setelah melihat kelebihan peserta lain, dia cuba untuk lebih menyerlah di dalam persembahannya.

"Saya akan mencuba untuk memperbaiki kekurangan diri ini untuk menarik perhatian juri dan penonton pada persembahan yang akan datang," katanya lagi.

Pada konsert ketiga Big Stage, Afieq akan mempersembahkan lagu Selamat Tinggal Sayang (duet Haqiem Rusli).

Jangan lepaskan peluang untuk terus menyaksikan pertarungan 9 bintang muda dalam rancangan realiti baharu Big Stage.

Big Stage disertai oleh Tajul, Andi Bernadee, Syafiq Farhain, Afieq Shazwan, Ariff Bahran, Baby Shima, Sissy Iman, Sarah Suhairi dan Wani Kayrie.

Rancangan Big Stage ditaja oleh Vivo dan ditrendkan oleh TikTok ini akan disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Big Stage turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Layari laman web www.bigstage.com.my untuk segala informasi mengenai program ini!