Pelakon Zara Zya mendedahkan dia mengalami 'tekanan' pada hari Khamis.

Semuanya gara-gara rasa gementar yang dialaminya apabila menyertai Super Spontan Xtravaganza (SSX).

"Sejujurnya, saya rasa gugup. Saya merupakan seorang pelakon, bidang lawak secara spontan memang bukan kelebihan saya tetapi saya mahu mencabar diri sendiri.

"Bayangkan, pada awal pertandingan, apabila tibanya hari latihan SSX pada Khamis, saya jadi stress. Itu belum lagi hari Jumaat, siaran langsung SSX.

"Namun begitu, saya banyak belajar untuk berinteraksi dengan penonton dan mengawal rasa gemuruh berada di atas pentas.

"Cuma, tiada rezeki saya untuk bertahan dan terpaksa meninggalkan pertandingan di minggu ke-4," kata Zara.

Zara ditemui usai program Super Spontan Xtravaganza (SSX) minggu ke-4 yang berlangsung pada Jumaat lepas.

Minggu keempat SSX menyaksikan Zara dan Anas Ridzuan dari kumpulan Lobster Leleh telah disingkirkan.

Malam ini, minggu kelima SSX akan bersiaran secara langsung dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

SSX menemui penonton pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan 'tukang masak', SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej 'tukang masak jalanan' dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej 'tukang masak di hotel'.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan dinilai oleh dua juri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri tempatan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Zara