Perkongsian penyanyi Daiyan Trisha yang memuat naik tiga keping foto dirinya menyarungkan busana pengantin di laman Instagram menimbulkan tanda tanya.

Daiyan turut menulis kapsyen ringkas iaitu tarikh 19.08.2018 di setiap foto terbabit

Menerusi panggilan telefon yang dilakukan oleh penyampai radio Era, Radin yang menghubungi Daiyan malam tadi, gadis itu mengesahkan tarikh (19.8.2018) yang dikongsikan di Instagram (IG) merupakan tarikh nikahnya.

"Betul saya akan bernikah. Bagaimanapun, kami tidak bertunang," katanya ringkas.

Daiyan bagaimanapun enggan mengulas mengenai bakal calon suami akan dinikahi kepada umum sebaliknya menyifatkan lelaki itu sebagai seorang yang baik hati dan ceria.

Namun begitu, melihatkan kepada pelbagai komen di laman Instagram Daiyan, ramai yang mendakwa tarikh itu hanya sekadar gimik untuk Daiyan melancarkan lagu terbarunya.

Sebelum ini, pelakon drama bersiri Sejuta Rasa Buat Adelia ini tidak pernah terpalit dengan gosip cinta atau dikaitkan dengan mana-mana jejaka.