"Target Sampai Minggu Ketiga, Tak Sangka Masih Bertahan Sehingga Sekarang" - Nizam Jentik-Jentik

Hiburan

Peserta Super Spontan Xtravanganza (SSX) Nizam Jentik-Jentik mengakui tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi untuk memenangi SSX.

Menurut Nizam, dia sebaliknya hanya meletakkan harapan untuk bertahan sehingga minggu ketiga sahaja.

"Alhamdulillah, target saya menyertai SSX ini hanya sampai minggu ketiga sahaja, tak sangka sehingga minggu ini masih bertahan.

"Sebenarnya saya menyertai SSX ini untuk mencari pengalaman dan tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk bergelar juara.

"Selepas ini jika masih bertahan dalam SSX ia adalah bonus bagi saya untuk tunjukkan bakat kepada orang ramai.

"Saya juga tak letak harapan tinggi kerana saya faham bukan mudah untuk bertanding dengan pelawak otai yang sudah mempunyai ramai pengikut," katanya kepada Gempak.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan 'tukang masak', SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej 'tukang masak jalanan' dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej 'tukang masak di hotel'.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan dinilai oleh dua juri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri tempatan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.
 

Artikel Berkaitan