Kedah bakal mempunyai sistem pengangkutan awam lebih moden apabila pembinaan sistem transit aliran ringan (LRT) akan direalisasi dalam tempoh 15 tahun lagi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin, pengangkutan terbabit menjadi keperluan di kawasan seperti di Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim mempunyai pengangkutan awam seperti di Kuala Lumpur bagi memberi keselesaan kepada penduduk.

"Jadi saya ingin melihat suatu hari nanti, tidak pun dalam masa terdekat, ataupun lima ke 10 tahun yang akan datang, bandar-bandar besar di Alor Setar, Sungai Petani dan juga Kulim dapat kita adakan pengangkutan seperti LRT.

"Ini supaya ia boleh melalui di semua kawasan perumahan dan rakyat akan lebih selesa dan keadaan bandar kita juga akan lebih baik dari sudut alam sekitarnya," ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Negeri Kedah, Azman Nasrudin.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PKR-Gurun) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai pelan induk untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dengan memperkenalkan pengangkutan awam lebih efisien.

Pada masa sama, Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, berkata pihaknya mendapati antara sebab pengangkutan awam di negeri ini tidak menjadi pilihan utama pengguna adalah disebabkan jadual dan frekuensi laluan bas tidak efisien.

Beliau berkata, rentetan itu, terdapat syarikat bas yang menghentikan operasi di tujuh hingga sembilan laluan di Kedah pada Julai lalu berikutan kekurangan penumpang.

Menjawab soalan Johari mengenai rancangan kerajaan negeri dalam pembangunan infrastruktur sistem bas henti-henti di Kedah, Azman berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berharap pelaksanaan program transformasi perkhidmatan bas henti-henti (SBST) di daerah ini dapat diteruskan.


Sumber : Awani