Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila Toyota Avanza dipandu terlibat dalam kemalangan dengan seekor gajah.

Kejadian berlaku di Batu 8, Jalan Mawai ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sedili, malam semalam.

Mangsa, Mohd Khairul Abdul Karim, 33 berkata, ia berlaku ketika kereta dipandunya tidak sempat mengelak lalu terlanggar kaki salah seekor sekawan gajah yang berada di tengah jalan.

"Selepas melanggar kaki seekor gajah saya panik lalu segera keluar daripada kenderaan kerana bimbang diserang gajah berkenaan walaupun gajah terbabit menuju ke dalam hutan berhampiran,"katanya.

Bagaimanapun, katanya, gajah berkenaan kemudiannya datang kembali ketika dia sedang menghubungi isterinya untuk dapatkan bantuan perubatan.

"Tak sangka ketika kami sedang menunggu kehadiran ambulans, sekawan gajah yang sama berpatah balik ke arah kereta saya, lalu memijak kenderaan hingga remuk di bahagian hadapan sebelum melarikan diri ke hutan semula,"katanya.

Bapa kepada empat anak berkata ekoran kemalangan itu menyebabkan dia mengalami cedera di bahagian muka kiri membabitkan pipi, bibir dan kelopak mata hingga menerima 20 jahitan akibat hentakan.

Sumber: Sinar Harian