Penyanyi Khai Bahar mengakui sudah biasa menerima pelbagai mesej peribadi (DM) daripada peminat menerusi akaun Instagram (IG).

Menurut Khai, sebagai seorang selebriti dia sukar untuk mengelak daripada menerima kiriman mesej peribadi yang pelik daripada peminatnya.

"Setiap orang mempunyai hak untuk menyuarakan apa-apa sahaja yang mereka mahukan.

"Jadi saya sebagai selebriti tidak akan dapat lari daripada menerima mesej pujian dan ada juga yang menghantar pesanan pelik-pelik di media sosial.

"Bagi saya itu merupakan perkara biasa dan saya hanya membiarkan saja walaupun ada mesej yang kadang-kadang agak keterlaluan," katanya kepada Astro Gempak.

Khai berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman barisan pencalon Anugerah Planet Muzik (APM) 2018, di Royale Chulan The Curve, Damansara, baru-baru ini.

Acara yang menggabungkan tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia ini akan bersiaran secara langsung dari MES Theatre di Mediacorp, Singapura.

APM 2018 berlangsung di Singapura pada 28 September ini dan boleh disaksikan menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Ria HD (Saluran 123) pada pukul 9 malam.