Pelakon Hantu Kak Limah, Sharwani menitiskan air mata ketika mengimbas kenangan bersama Allahyarham Rab Khalid.

Kata Sharwani, dia sempat meluangkan masa bersama Rab semasa berkongsi bilik satu malam ketika penggambaran Hantu Kak Limah tahun lalu.

"Sepanjang penggambaran filem Hantu Kak Limah, saya cuma sempat satu malam berkongsi bilik dengan dia.

"Katanya saya berdengkur dengan kuat.

"Kebetulan tempat kami shooting dekat dengan kampung halaman saya, demi jaga hati dia, dia paksa saya tidur dengan dia.

"Tapi baru hari pertama dia sudah kejutkan saya bangun sebab berdengkur kuat sangat.

"Jadi saya minta izin untuk balik ke rumah untuk temankan bapa saya yang berseorangan.

"Itulah kali terakhir kami meluangkan masa bersama-sama. Hajat untuk berlakon sama dalam naskhah berikutnya tidak kesampaian," katanya.

Rab yang begitu sinonim dengan karakter Yeh Sekupang telah meninggal dunia kerana sakit jantung pada Januari lalu.

"Filem ini filem dia, filem ini untuk arwah Rab Khalid atau Yeh Sekupang. Kita doakan yang terbaik untuk dia," tambah Wani.

Dalam filem francais Hantu Kak Limah, Sharwani masih diberikan tanggungjawab mendukung peranan Wani di samping Datuk Awie dan Rab.

Filem Hantu Kak Limah merupakan francais keempat kisah Kampung Pisang, bermula dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Sehingga kini, Hantu Kak Limah sudah mengutip RM9 juta sejak tayangan Khamis lalu.

Selain Sharwani dan Rab, Hantu Kak Limah menampilkan barisan pelakon popular antaranya Datuk Awie, Delimawati, TJ Isa, Sharwani, Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Uqasha Senrose, Mus May, Erra Fazira, Jue Aziz, Sabri Yunus, Pekin Ibrahim dan Datuk Seri Vida.