Personaliti TV, Mizz Nina semakin mendekatkan diri dengan ilmu agama apabila melanjutkan penganjian dalam Diploma Pengajian Islam secara dalam talian.

Ujarnya, dia mengambil pengkhususan Taklim al-Quran di Alhuda International sejak 8 bulan lalu dan berhasrat menghabiskan pengajiannya itu dalam tempoh 2 tahun.

"Banyak subjek sebenarnya yang ada seperti tafsiran, hadis, sirah dan ada juga peperiksaan. Belajar secara 'online' adalah suatu yang menyeronokkan," katanya kepada Astro Gempak.

Jelasnya, dia yang banyak melancong dan melakukan penggambaran di luar negara tetap mudah untuk belajar menerusi komputer riba yang disambung menerusi WiFi.

"Saya boleh belajar secara 'live' di dalam kelas dan jika terlepas kelas, saya boleh mendengar rakaman semula.

"Ada kelas menerusi aplikasi Skype bersama ppensyarah dari Kanada dan Amerika Syarikat. Kelas diadakan sebanyak 3 kali seminggu untuk sesi selama 4 jam setiap kelas," katanya.

Ujarnya, dia berharap agar lulus dalam pengajian ini dan akan memikirkan keputusan seterusnya sama ada mahu meneruskan pengajian atau sebaliknya.

Dalam pada itu, dia mengakui tidak lagi berhasrat untuk menyanyi sama ada di pentas mahupun menghasilkan single baru.

"Jika selawat berzikir untuk sendiri saya ada buat tapi untuk buat persembahan di atas saya sudah tiada minat," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @officialmizznina