Penyanyi Tomok akui bakal menggabungkan bekas anggota asal kumpulan New Boyz untuk terbabit dalam persembahan Tomok Vs Black - In The Spotlight yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 28 November ini.

Tomok, 34 atau Shah Indrawan Ismail berkata, perkara itu bagi memenuhi permintaan peminat yang ingin menyaksikan mereka bergabung semula.

Mereka yang akan dikumpulkan semula adalah Mohd Syukri Mohd Shanushi (Syuk-bass), Shahrizan Mat Saleh (Jay-gitar utama), Mazlan Ismail (Lan-gitar rentak) dan Mat Shah Mat Salleh (Along-dram).

"Apabila mendapat tawaran menjayakan persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) ia satu sejarah untuk saya.

"Jadi, kalau boleh saya mahu melakar sejarah ini bersama dengan bekas anggota New Boyz. Tambahan pula, kebanayakan yang sudah membeli tiket menginginkan kami bergabung dalam persembahan itu.

"Buat masa sekarang, saya masih cuba mendapatkan mereka lagi. Ada sudah berkata okey dan ada belum memberikan jawapan. Lagi pula, mereka memang sudah tidak aktif dalam bidang ini. Apa pun, saya berharap usaha itu dapat dilaksanakan," katanya.

New Boyz ditubuhkan pada 1999, pernah menghasilkan lapan album.

Antara lagu popular mereka seperti Sejarah Mungkin Berulang, Cuba-Cuba, Meraung, Qiam, Marah Bukan Sifatku dan banyak lagi.

Sumber: Harian Metro