Pelakon yang popular dengan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Angeline Tan menegaskan dia sentiasa terbuka untuk menerima idea daripada pelakon dan pengarah yang lebih muda daripadanya.

Kata Angeline, 51, usia bukan penghalang untuk dia terus menimba ilmu terutama dalam bidang lakonan.

"Saya tidak boleh sentiasa duduk di zon selesa dan hanya memilih untuk bekerjasama dengan penggiat seni yang berpengalaman sahaja.

"Walaupun saya lebih lama dalam industri, apa masalahnya untuk saya belajar daripada penggiat seni muda?

"Sama seperti yang sudah sedia ada pengalaman sekarang, semuanya bermula daripada kosong.

"Jadi, berikan peluang kepada pelakon dan pengarah muda berkarya. Mungkin ada ilmu yang mereka ada yang boleh saya belajar sekali," katanya kepada Gempak.

Angeline ditemui pada sneak preview teater Tanah Akhirku di Istana Budaya baru-baru ini.

Dalam teater arahan Naque Ariffin itu, Angeline berpeluang berkongsi pentas bersama Mei Fen Lim, Aeril Zafrel, Izzue Islam dan ramai lagi.

Teater Tanah Akhirku menceritakan kedatangan masyarakat Cina ke Tanah Melayu dan bakal dipentaskan pada 28 Ogos hingga 2 September ini.

Tiket berharga RM40, RM60, RM110, RM150, Rm200, RM250 dan RM350 boleh didapati menerusi http://airasiaredtix.com.



Teks oleh: Amri Hassan
Foto: Amri Hassan