Sutradara terkenal Mamat Khalid menegaskan kekuatan Hantu Kak Limah berbeza daripada filem-filemnya terdahulu.

Mengetengahkan formula komedi santai dan bersahaja, Mamat mengakui Hantu Kak Limah adalah naskhah yang mengikut selera penonton semasa.

"Apabila menghasilkan filem francais, selalunya saya akan menyelitkan pelbagai mesej dan unsur satira.

"Tetapi, untuk Hantu Kak Limah, mungkin ramai yang beranggapan jalan cerita filem ini lebih ringan berbanding sebelumnya.

“Memang benar, kali ini saya hanya mahu melihat penonton bergelak ketawa dan terhibur bersama keluarga tanpa perlu berfikir apa-apa.

“Sebab rasanya sudah lama saya tidak berasa situasi sebegini di pawagam,” katanya.

Filem Hantu Kak Limah merupakan francais keempat kisah Kampung Pisang, bermula dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Hantu Kak Limah yang sudah mengutip RM9 juta sejak tayangan Khamis lalu menampilkan barisan pelakon popular antaranya Datuk Awie, Delimawati, Allahyarham Rab Khalid, TJ Isa, Sharwani, Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Uqasha Senrose, Mus May, Erra Fazira, Jue Aziz, Sabri Yunus, Pekin Ibrahim dan Datuk Seri Vida.

Teks oleh: Amri Hassan