Seorang jejaka membuat pengakuan dirinya telah membelanjakan hampir RM
45,000 untuk melakukan pembedahan di bahagian wajah demi mendapatkan rupas paras seperti penyanyi popular Hael Husaini.

Menggunakan nama Adam Zainee (@adamzainee_) di laman Instagram, lelaki itu mendedahkan perkara tersebut menerusi salah sebuah entri di laman Instagram miliknya.

Pendedahan mengejutkan Adam itu mengundang perhatian dan kecaman dari netizen.

"Ya, saya akui telah melakukan sedikit pembedahan yang melibatkan rahang kiri dan kanan, botox pipi bagi naik, buat hidung, dagu dan juga bibir, semua pembedahan menelan belanja hampir RM 45,000.

"Puas hati semua wahai makcik bawang," tulisnya.

Mendapatkan kepastian mengenai kesahihan berita ini, Gempak telah menghubungi Adam.

Jejaka itu telah mengesahkan bahawa kenyataan yang dibuat itu hanyalah sekadar sindiran semata-mata.

"Saya sindir sahaja. Saya tidak pernah membuat sebarang pembedahan muka sebelum ini," jelasnya.


Teks : Asraf Aided
Sumber : Instagram