Percubaan pelakon Zara Zya menceburkan diri dalam bidang nyanyian membuahkan hasil.

Tampil dengan single pertama yang berjudul Tiada Dendam, lagu tersebut diciptakan oleh Lieynur Liey dan Fauzi Aisunam serta liriknya dihasiklan oleh Iman Imran.

Sudah meraih 1.8 juta tontonan di laman YouTube selepas dua bulan dimuat naik, lagu Zara kurang diputarkan di radio.

Bersyukur dengan perkembangan positif ini, Zara berharap peminatnya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada single pertamanya.

"Sejujurnya, saya okay sahaja dengan situasi tersebut. Apa yang penting, peminat strim dan muat turun secara digital lagu Tiada Dendam.

"Asalkan peminat mendengar lagu tersebut menerusi saluran yang betul, saya sudah bersyukur. Lagu saya ada dimainkan di radio tetapi jarang pada waktu puncak.

"Saya masih berharap peminat saya menyokong dengan mengundi lagu ini di carta lagu baru seluruh stesen radio serta membuat permintaan untuk memainkan single Tiada Dendam," kata Zara.


Tetap meletakkan keutamaan dalam bidang lakonan, Zara menjadikan lagu ini sebagai hadiah untuk peminatnya yang tidak henti menyokong.

"Lakonan tetap nombor satu, menyanyi itu hobi sahaja. Saya kabulkan impian peminat yang mahu saya muncul dengan single menjadi realiti. Buat masa ini, saya belum mengambil sebarang tawaran nyanyian kerana sangat gementar.

"Insya-Allah, saya akan terus berlatih untuk mengurangkan rasa gugup dan jika saya sudah bersedia, pastinya saya akan menjayakan undangan persembahan," katanya lagi.

Zara ditemui usai program Super Spontan Xtravaganza (SSX) yang berlangsung pada Jumaat lalu.

Minggu keempat SSX menyaksikan Zara dan Anas Ridzuan dari kumpulan Lobster Leleh telah disingkirkan.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan 'tukang masak', SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej 'tukang masak jalanan' dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej 'tukang masak di hotel'.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan dinilai oleh dua juri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri tempatan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Zara