Konsert 16 Baris 2018 yang berlangsung di ibu negara kelmarin berjaya menghimpunkan 5,000 peminat genre hip hop yang sanggup berhibur dalam persembahan hampir 6 jam.

Menariknya, konsert yang menampilkan 45 artis ini bukan saja mencipta sejarah buat peminat hip hop berkumpul meraikan sambutan Hip Hop ke-45 tapi turut meraikan ulangtahun Tune Talk ke-9.

Jenama 16 Baris sebelum ini dikenali sebagai program mingguan menerusi saluran YouTube yang diciptakan oleh penyanyi rap dan hip hop popular, Joe Flizzow bersama Rocketfuel Entertainment.



Setiap episod menampilkan 3 penyanyi rap sehingga 45 penyanyi untuk 15 episod di mana episod pertama dilancarkan pada penghujung tahun lalu manakala episod akhir untuk musim pertama kali ini pada Mac lalu.

Sambutan peminat terhadap persembahan 16 Baris ini memang cukup memberangsangkan.

Konsert percuma pada 14 April lalu yang menyasarkan 500 penonton tetapi akhirnya menarik perhatian lebih 3,000 peminat untuk hadir.



Ketua Pegawai Eksekutif, Tune Talk, Ameen Amaendran berkata, Konsert 16 Baris 2018 menjadi hadiah hari jadi buat semua apatah lagi meraikan ulangtahun ke-9 dalam operasi syarikat telekomunikasi itu.

"Kami sentiasa menyokong industri muzik tempatan dan hip hop sangat berkembang di Malaysia," katanya.

Sebagai satu pencapaian, kerjasama Tune Talk bersama 16 Baris akan merangkumi musim kedua siri ini di YouTube.

Malah, Tune Talk mempunyai perancangan untuk memperluaskan perkhidmatan di peringkat rantau Asia Tenggara seiring fokus 16 Baris untuk menjadi peneraju genre hip hop.

Teks oleh: Elrafaei Sapi