Penyanyi Baby Shima jatuh pengsan sebaik sahaja selesai membuat persembahannya di pentas Big Stage sebentar tadi.

Pada mulanya, kejadian tersebut disangka gimik oleh penonton, tetapi hakikatnya penyanyi tersebut benar-benar tidak sedarkan diri.

Setelah itu, paramedik telah datang memberi bantuan dengan kadar yang segera.

Tidak lama selepas itu, pengacara Big Stage, Aliff Satar dan Sherry Alhadad telah memaklumkan kepada semua penonton bahawa Shima telah sedarkan diri.



Dikejarkan ke hospital, difahamkan Shima jatuh pengsan kerana terlalu penat.

Pihak pengurusan Shima mengakui perkara tersebut.

"Shima ada persembahan malam semalam di Semedang, Indonesia dan sampai di Kuala Lumpur pada 3 petang tadi.

"Dia ada mengadu sakit kepala dan pada jam 6 petang tadi, Shima makan panadol.

"Sebelum naik ke pentas melakukan persembahan, Shima mengatakan badannya berada dalam keadaan lemah.

"Namun begitu, dia tetap meneruskan persembahan dan akhirnya pengsan. Saya tak sangka perkara ini terjadi," kata wakil pihak pengurusan.



Kini Shima sudah sedarkan diri tetapi pihak doktor mahu Shima berehat terlebih dahulu.

Shima telah menyanyikan lagu Ku Tak Akan Bersuara nyanyian asal Nike Ardila pada konsert minggu kedua Big Stage.

Di akhir konsert, Fara Hezel menjadi peserta pertama tersingkir.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan pertarungan bintang muda dalam rancangan realiti baharu Big Stage.

Big Stage disertai 10 penyanyi iaitu Sarah Suhairi, Ariff Bahran, Afieq Shazwan, Andi Bernadee, Tajul, Syafiq Farhain, Baby Shima, Fara Hezel, Sissy Iman dan Wani Kayrie.

Rancangan yang ditaja oleh Vivo dan ditrendkan oleh Tik Tok ini akan disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Layari laman web www.bigstage.com.my untuk segala informasi mengenai program ini!

Big Stage turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Teks : Asraf Aided & Amri Hassan
Foto & Video: Amri Hassan