Penyanyi Baby Shima mengakui tidak cukup masa untuk melakukan persiapan bagi persembahan konsert Big Stage.

Menurut pemilik nama penuh Nor Ashima Ramli ini, semuanya gara-gara jadual persembahannya yang sibuk di Indonesia.

"Saya akui saya tak cukup masa buat persiapan. Kebanyakan masa saya dihabiskan di Indonesia kerana memenuhi undangan di sana. Semuanya telah diaturkan terlebih dahulu.

"Di minggu pertama, saya hanya mempunyai masa beberapa jam sebelum konsert. Saya sampai di Malaysia pada pagi Ahad dan terus berlatih untuk konsert yang berlangsung pada malamnya.

"Saya memang sibuk, tapi saya tak mahu jadikan ia alasan untuk mengalah. Ramai penyokong yang sentiasa memberikan dorongan kepada saya," kata Shima.

Tambah Shima lagi, dia mencuri masa berlatih jika tidak sibuk.

"Saya curi masa untuk melakukan persiapan biarpun saya sibuk memenuhi undangan persembahan. Apa yang penting, saya telah berusaha sehabis baik dan saya berharap agar semuanya dipermudahkan," katanya lagi.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan pertarungan 10 bintang muda dalam rancangan realiti baharu Big Stage.

Big Stage disertai 10 penyanyi iaitu Sarah Suhairi, Ariff Bahran, Afieq Shazwan, Andi Bernadee, Tajul, Syafiq Farhain, Baby Shima, Fara Hezel, Sissy Iman dan Wani Kayrie.

Rancangan yang ditaja oleh Vivo dan ditrendkan oleh TikTok ini akan disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria(104) dan Ria HD (123).

Layari laman web www.bigstage.com.my untuk segala informasi mengenai program ini!

Big Stage turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Shima