Pelakon dan penyampai radio, Anas Ridzuan tersingkir di minggu keempat program Super Spontan Xtravaganza (SSX).

Mewakili kumpulan Lobster Leleh, Anas tersingkir bersama aktres Zara Zya.

"Alhamdulillah, biarpun tersingkir, saya bersyukur kerana dapat bertahan sehingga minggu keempat. Bukan rezeki saya untuk terus bertahan di SSX.

"Ini merupakan satu pengalaman baru untuk saya. Beraksi di pentas sebegini dan berinteraksi dengan penonton merupakan satu perkara baru yang saya pelajari," kata Anas.

Memulakan karier dalam bidang hiburan sebagai penyanyi, Anas kini lebih memberikan fokus kepada bidang lakonan, dan pengacaraan.

"Buat masa ini, kerjaya saya sebagai penyampai radio direhatkan dahulu sehingga September. Saya belum mempunyai sebarang perancangan untuk bidang nyanyian.

"Alhamdulillah, tawaran kerja sentiasa ada dan saya mahu memberikan fokus kepada lakonan dan pengacaraan," katanya lagi.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan 'tukang masak', SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej 'tukang masak jalanan' dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej 'tukang masak di hotel'.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan dinilai oleh dua juri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri tempatan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Teks: Kamaruddin Razal