Bagi pengikut filem francais komedi seram Hantu Kak Limah, pasti anda tahu setiap kali siri filem ini ditayangkan, pasti ada dialog atau lagu yang akan mula tular.

Untuk siri kali ini, pengarahnya Mamat Khalid akui dialog ‘per.. per..’ mula tular dalam kalangan penonton.


Mamat ketika dihubungi berkata, dialog-dialog yang tular sejak beberapa siri yang lalu bukan salah satu daripada perancangan promosi filem itu.

“Untuk siri kali ini, dialog ‘per..per..’ dah mula viral di Facebook. Sebenarnya, kami tidak rancang pun dialog itu untuk jadikan ia viral.

“Tetapi apabila penonton dah tonton dan faham dialog itu, mereka akan mula gunakannya sehingga ia menjadi viral,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mamat turut berkongsi bahawa satu lagi siri filem komedi seram ini akan menyusul.

“Kami baru lepas bermesyuarat, Insya-Allah akan ada satu lagi siri Zombi Kampung Pisang yang akan menyusul.

“Kami termasuk Astro Shaw akan mengisytiharkan tentang filem ini tidak lama lagi. Satu lagi siri Zombie Ultimater akan ditayangkan,” katanya.

Hantu Kak Limah catat sejarah selepas meraih kutipan tertinggi berjumlah RM1.8 juta pada hari pembukaannya pada Khamis.

Kutipan tersebut sekali gus merekodkan filem arahan, Mamat Khalid itu sebagai filem yang menerima kutipan tertinggi pada hari pertama ditayangkan kepada umum.

Filem kerjasama Astro Shaw dan Infinitus Gold ini membariskan Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Uqasha Senrose serta penampilan istimewa Erra Fazira dan Datuk Seri Vida.

Hantu Kak Limah kini ditayangkan di 133 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.

Sumber: Astro Awani