Pementasan teater Tanah Akhirku akhirnya melantik pengarah muda Naque Ariffin untuk mengemudi produksi tersebut.

Kata Naque, 27, dia menerima tawaran terbabit bukan kerana bayaran sebaliknya tanggungjawab sebagai alumni Aswara.

"Saya kasihan kepada produksi ini sebab mereka kurang pertolongan dari sudut pengarahan, saya tahu saya 'last minute' tapi saya tahu kenapa mereka cari saya.

"Mereka pun kenal saya dan setakat ini saya belum menerima apa-apa bayaran lagi, bagi saya dahulukan mana-mana yang perlu dahulu.

"Kemudian, baru berbincang lebih lanjut," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman pelakon utama dan sneak preview teater Tanah Akhirku di Istana Budaya baru-baru ini.

Naque yang baru menamatkan Ijazah Sarjana Seni Urban dan Industri Budaya di Institut Kesenian Jakarta hujung Julai lalu pernah menjadi pengarah seni lakon Asyraf Sinclair untuk drama bersiri Do[S]a.

Malah, Naque pernah terbabit untuk belakang tabir program hiburan seperti Duo Star dan On Air.

Tanah Akhirku yang dibintangi oleh Aeril Zafrel dan Mei Fen sendiri sebagai teraju utama turut membariskan Erma Fatima, Izzue Islam, Angeline Tan, Nina Nadira dan ramai lagi termasuk pelajar Aswara sendiri.

Ia mengisahkan perjalanan hidup seorang gadis yang berasal dari Tanah Besar China ke Tanah Melayu bernama Yue Feng. Yue Feng dan adiknya, lari daripada perang saudara di China dan mencari kehidupan baharu di Tanah Melayu.

Mereka bekerja di lombong biji tumah yang dikuasai oleh kongsi gelap Cina. Ketidakstabilan politik pada masa penjajahan British itu membuatkan kehidupan yang dilalui pada awalnya agak sukar.

Lama-kelamaan cintanya terhadap Tanah Melayu semakin menebal apatah lagi dia jatuh hati dengan seorang pemuda Melayu. Yue Feng akhirnya memutuskan Tanah Melayu sebagai tanah akhirnya.

Aswara telah memperuntukkan dana khas untuk teater ini walaupun dalam kekangan kewangan semasa kerana ingin melihat pelajar Aswara berkeyakinan dan karya setanding karya profesional luar Aswara.

Teater ini akan dipentaskan dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris yang turut disertakan sarikata. TIket dijual pada harga RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM250 dan RM350 boleh dibeli melalui laman airasiaredtix.com.



Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @naque_ariffin