Pengarah filem Hantu Kak Limah, Mamat Khalid menjelaskan faktor geografi dan format lawak antara Malaysia dan Thailand membuatkan persamaan tidak sengaja dengan filem komedi seram Pee Mak.

Kata Mamat, ia berlaku secara kebetulan dan tiada istilah tiru-meniru antara Hantu Kak Limah dan Pee Mak.

"Penonton rasa sama sebab ada set rumah, sungai dan jeti. Orang mesti akan kaitkan dengan Pee Mak.

"Tetapi Pee Mak (2013) diterbitkan pun selepas Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010).

"Nak kata saya ikut dia, dia ikut saya pun susah sebab keadaan geografi di negara kita dan Thailand seakan sama.

"Malah, lawak pun kedengaran lebih kurang serupa cuma bahasa berbeza. Kalau kebetulan sama itu maksudnya semangat kita serumpun," katanya kepada Gempak.




Hantu Kak Limah merupakan sekuel filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit yang sudah mula ditayangkan sejak Khamis lalu.

Masih mengekalkan Dalimawati Ismail sebagai watak utamanya, Hantu Kak Limah turut dibarisi Datuk Awie, Rab Khalid, Sharwani NS, TJ Isa dan beberapa pelakon undangan seperti Zul Ariffin dan Uqasha Senrose.

Teks oleh: Amri Hassan