Pelakon Aedy Ashraf menjadi bahan kritikan umum di laman sosial selepas diberi tanggungjawab untuk membawakan peranan sebagai watak utama dalam drama bersiri Cinta Tiada Ganti.

Bersedia untuk dikecam atau dijadikan subjek perbandingan, Aedy yang memulakan karier lakonan semenjak di bangku sekolah ini tidak mempunyai masalah dengan komen atau tanggapan netizen terhadap dirinya.

"Rezeki saya apabila mendapat tawaran untuk memegang watak utama dalam drama ini.

"Saya baca komen-komen netizen yang menginginkan watak Jericho Rosales dipegang oleh Shukri Yahya tetapi bagi saya, perkara ini bukan satu masalah," katanya.

Aedy atau nama sebenarnya Mohammed Addy Ashraf Rosmadi menjelaskan dirinya sudah lama berada di dalam industri lakonan, semestinya dia perlu memberikan hasil kualiti kerja dan lakonan yang bagus.

Cinta Tiada Ganti merupakan adaptasi dari drama popular Filipina bertajuk Sana'y Wala Nang Wakas.

Drama bersiri Cinta Tiada Ganti bersiaran di Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 6:00 petang.

Menerusi drama Cinta Tiada Ganti arahan Feroz Kadir itu, Aedy memegang watak utama sebagai Mukhriz bersama pelakon gandingannya, Nelydia Senrose.

Selain Aedy, pelakon lain yang turut menjayakan drama tersebut adalah Hafidz Roshdi, Ben Amir, Sweet Qismina, Wan Sharmila, Octovia Manrose, Dian P Ramlee dan ramai lagi.


Teks: Noor Zulaikha Yusof