Setelah melakar sejarah mengutip RM11 juta di Malaysia, Singapura dan Brunei, filem Dukun mengorak langkah ke Indonesia dimana dan akan ditayangkan bermula 8 Ogos ini di 33 pawagam.

Tayangan melibatkan di beberapa kota terkenal antaranya Jakarta, Depok, Tangerang, Cikarang, Bogor, Bekasi, Serang, Karawang, Bandung, Semarang, Tegal, Batu, Malang, Jember, Bali, Kupang, Palembang, Medan, Jambi, Balik Papan, Manado, Bau Bau, Makassar, Mamuju, Mojokerto, Pekan Baru, dan Batam. Fear Pictures merupakan pengedar bagi filem arahan Dain Said ini.

Menurut Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, tahun ini merupakan kejayaan luar biasa untuk filem Astro Shaw kerana berjaya menembusi pasaran Indonesia dan mampu mengembara di negara-negara yang lain.

"Sebelum ini, Dukun telah menyertai New York Asian Festival dan ditayangankan di sana. Kini Dukun ke Indonesia, satu perkembangan yang baik untuk filem tempatan malah penonton di sana amat menantikannya setelah mereka mengetahui dari media sosial.

"Kami juga sedang menantikan beberapa negara lain yang akan menayangkan filem ini serta beberapa festival filem antarabangsa di mana filem Dukun bakal dipertandingkan," katanya.

Menurutnya Najwa lagi, Astro Shaw berharap Dukun dapat diterima ramai dan mendapat sambutan yang menggalakkan di Indonesia.

Dukun mengisahkan tentang Karim (lakonan Faizal Hussein), seorang peguam yang sedang bergelut dengan kerjayanya akibat kemurungan dan gangguan emosi berikutan kehilangan orang yang tersayang iaitu isterinya, Sara (lakonan Avaa Vanja) dan anak perempuannya, Nadia (lakonan Elyana).

Dalam masa yang sama, Karim telah ditawarkan peluang untuk menjadi peguam kepada seorang OKT (Orang Kena Tuduh) bernama Diana Dahlan (lakonan Datin Seri Umie Aida), yang berjanji akan mencari anaknya.

Diana yang merupakan seorang penyanyi kelab malam, telah dihadapkan ke mahkamah kerana disyaki terlibat dalam satu kes pembunuhan.

Pihak polis telah menjumpai mayat di rumahnya yang disyaki dari aktiviti ilmu hitam yang diamalkan untuk kekal cantik dan berkuasa. Diana dikatakan seorang dukun yang mempunyai tongkat sakti dari suku kaum Batak.

Melalui proses perbicaraan dan penyiasatan yang dilakukan oleh ASP Talib (lakonan Namron); sisi ilmu hitam Diana terungkai satu demi satu.

Dukun merupakan sebuah kisah perihal ketaksuban manusia terhadap kekayaan, kuasa, kecantikan, keremajaan abadi dan terdapat pertumpahan darah dalam mengejar kemahuannya.

Teks: Kamaruddin Razal