Pelawak dan pelakon Abam Bocey mengakui mahu memberi peluang kepada perserta baru dalam Super Spontan Xtravaganza (SSX) untuk menyerlah.

Menurut Abam, sebagai peserta lama dia harus memberi tunjuk ajar pada mereka supaya dapat tunjukkan bakat pada orang ramai.

"Sebagai orang yang lama bermain dalam supser spontan saya mahu memberi peluang untuk peserta baru untuk menyerlah.

"Bukan saya tidak mahu terlibat dalam setiap permainan namun hanya mahu memberi ruang pada mereka ketengahkan bakat yang mungkin orang lain tidak pernah tahu.

"Supaya dengan itu tak nampak orang yang lama sahaja menonjol dalam setiap permainan.

"Kami yang sudah lama bermain dalam super spontan akan mendorong dan memberi semangat kepada mereka untuk bermain," katanya kepada Astro Gempak.

Minggu ketiga SSX menyaksikan Modee dari kumpulan Sotong Kangkung telah disingkirkan.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan 'tukang masak', SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej 'tukang masak jalanan' dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej 'tukang masak di hotel'.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan dinilai oleh dua juri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri tempatan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi