Penyanyi Tajul mengakui populariti yang dikecapinya pada masa kini bukan alasan untuk tidak menyertai program Big Stage.

Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md Shari, 20, berkata, dirinya masih mempunyai kekurangan dan bersedia untuk menerima kritikan daripada juri.

"Pada saya ini semua bergantung pada juri, kalau nanti saya ada lakukan kesilapan sudah pasti akan disingkirkan.

"Bagi saya tak semestinya nama besar kita bagus mungkin saya juga perlu mencabar diri untuk bertanding kerana setiap kritikan yang diberikan oleh juri akan membuatkan saya sedar dengan kelemahan yang ada.

"Mungkin dengan itu saya dapat memperbaiki kelemahan yang ada untuk menjadi penyanyi yang lebih bagus pada masa hadapat.

"Saya juga terbuka untuk menerima segala kritikan dan teguran," katanya kepada AStro Gempak.

Tajul berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media program Big Stage, di Timbre @ The Row, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program Big Stage merupakan sebuah pertandingan nyanyian terbaru berkonsepkan realiti yang menampilkan angkatan bakat muda yang kini popular dengan jolokan Budak Baru Nak Up (BBNU) dalam kalangan penggiat industri hiburan tempatan.

Selain Tajul, Big Stage turut disertai oleh Afieq Shazwan, Andi Bernadee, Ariff Bahran, Syafiq Farhain, Baby Shima, Fara Hezel, Sarah Suhairi, Sissy Iman dan Wani Kayrie.

Rancangan yang ditaja oleh Vivo dan ditrendkan oleh Tik Tok ini akan mula ditayangkan mulai 5 Ogos 2018, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria(104) dan Ria HD (123).

Layari laman web www.bigstage.com.my untuk segala informasi mengenai program ini!

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi