Filem animasi yang bakal ditayangkan pada 16 Ogos ini, Wheely menggunakan suara selebriti terkenal seperti Zizan Razak, Johan Raja Lawak dan Lisa Surihani.

Penerbit Eksekutif filem Wheely, Datuk Norman Abdul Halim memberitahu, filem ini telah menelan belanja sebanyak RM10 juta untuk dihasilkan.

Menurut Norman, filem ini merupakan filem animasi paling termahal yang pernah dihasilkan oleh kumpulan syarikat KRU.

"Bajet merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi untuk menghasilkan filem ini. Pasaran kami kecil sahaja, jadi kami tiada pelabur yang ingin melabur.

"Kami hanya mengharapkan daripada dana-dana dalaman dan pinjaman untuk menjayakan filem ini," katanya.

Norman ditemui di majlis tayangan perdana dunia filem Wheely di GSC Pavillion malam tadi.

Walaupun filem ini belum ditayangkan tetapi berjaya mendapat pra-jualan ke lebih 100 buah negara antaranya seperti Amerika Syarikat, China, Jerman, United Kingdom, Korea Selatan, Rusia, Brazil dan banyak lagi.

"Ia satu kejayaan sebenarnya buat industri animasi tempatan selain ia bukti tenaga kerja dan produk Malaysia setanding dengan antarabangsa," kata Norman lagi.


Teks: Noor Zulaikha Yusof