Penyanyi Nor Ashima Ramli atau lebih dikenali sebagai Baby Shima mendedahkan bahawa dirinya sedang sibuk menerima undangan persembahan di Malaysia dan juga di Indonesia.

Namun begitu, penyanyi ini yakin bahawa dia boleh mengendalikan masanya dengan baik apabila sudah mula menyertai pertandingan Big Stage tidak lama lagi.

"Walaupun saya sibuk dengan undangan-undangan lain, tetapi insya-Allah, saya yakin saya boleh menguruskan masa dengan baik.

"Saya akan cuba untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam pertandingan Big Stage ini kerana disitulah saya boleh belajar pelbagai perkara.

"Walaupun jadual saya buat masa ini agak ketat, tapi saya sedar yang saya harus kuat dan tidak mensia-siakan peluang yang ada," kata Shima.

Shima ditemui ketika berada di majlis Sidang Media Big Stage bertempat di Chamber 3, Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pertandingan itu, Shima bakal berentap bersama Sissy Iman, Tajul, Syafiq Farhain dan ramai lagi.

Big Stage musim pertama akan mula bersiaran pada 5 Ogos 2018, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Teks : Asraf Aided