Peminat Running Man mula meluahkan rasa rindu mereka terhadap bekas anggota program tersebut iaitu pelakon Song Joong Ki.

Setelah hampir tiga tahun Running Man bersiaran tanpa Song Joong Ki, peminat mula merasakan seperti ada kekurangan terhadap program itu.

Mereka mula memberikan cadangan supaya pihak produksi ‘melamar’ kembali aktor itu untuk menjadi ahli tetap Running Man.

Perkara itu terbukti apabila begitu banyak komen diberikan oleh peminat setia melalui media sosial tidak kira di Twitter mahupun akaun Instagram rasmi Running Man.

Dalam pada itu, menerusi satu temubual bersama Song Joong Ki bersama media di Hong Kong, dia akui rindu untuk kembali beraksi dalam Running Man bersama sahabat baiknya, Lee Kwang Soo.

“Secara jujur saya sendiri mahu kembali beraksi dalam Running Man jika diberi kesempatan.

“Running Man umpama rumah kedua untuk saya, jika diberi peluang untuk muncul kembali, kenapa tidak?

“Rindu dengan ahli-ahli Running Man yang saya sudah anggap seperti keluarga sendiri,” katanya.

Song Joong Ki merupakan ahli tetap Running sejak program itu mula ditayangkan pada 11 Julai 2010.

Bagaimanapun, dia terpaksa akur untuk keluar daripada Running Man kerana jadual kerja yang terlalu padat dan bertindih dengan penggambaran program berkenaan.