Tular beberapa keping foto yang dipercayai milik pelakon kacak berbadan sasa Zul Ariffin bersama seorang gadis warganegara asing di Phuket, Thailand awal Julai lalu.

Keadaan menjadi lebih mencurigakan apabila foto-foto yang telah dimuat naik oleh Zul dan gadis Ukraine bernama Tanya Glembotska itu kebetulan berada di lokasi sama pada tempoh masa sama.

Bertemu dengan Zul sendiri pada majlis tayangan perdana filem Hantu Kak Limah di e@Curve, Damansara semalam, Gempak mendapatkan komen daripada pelakon itu sendiri.

"Tak ada lah, mana ada. Saya bercutilah, saya pergi training. Tak ada apapun, saya tiada komen berhubung perkara itu," jelas Zul.



Zul bagaimanapun enggan mengulas lebih terperinci identiti sebenar gadis berkenaan dan memutuskan untuk tidak berkongsi lebih lanjut.

"Benda mudah, kalau saya berkata sesuatu orang akan meletakkan pelbagai tanggapan dan menghukum saya, perkara baik atau buruk tak membezakan apa-apa.

"Jadi saya hanya biarkan apa yang mereka hendak fikirkan dan akan terus berdiam diri sebab kalau saya komen kiri atau kanan tak ada bezanya.
"Mereka tak tahu apa-apa jadi mereka akan terus membuat pelbagai tanggapan," tambahnya.

Selain mengikuti akaun Instagram Zul, gadis yang menggunakan nama @glembotska itu pernah memuat naik fotonya memeluk seorang jejaka yang dipercayai pelakon lelaki itu.



Sementara itu secara ringkas, Zul memberitahu dia mengenali wanita terbabit ketika menjalani latihan seni mempertahankan diri bersama jurulatih antarabangsa di sana.

"Ya, saya kenal wanita itu di sana ketika menjalani latihan bersama-sama. Saya layan dia seperti orang lain," kata Zul.

Menjawab dakwaan tatu bertulis 'Zul' yang dicacah pada jari manis wanita berkenaan, ini pula jawapan Zul; "Inai sajalah, saya tak sangka dia akan berbuat sedemikian."



Hantu Kak Limah merupakan francais terbaharu filem arahan Mamat Khalid yang menampilan Zul sebagai watak seorang bomoh bernama Solihin.

Selain Zul, Hantu Kak Limah dibintangi Dalimawati, Datuk Awie, Uqasha Senrose, Erra Fazira dan Datuk Seri Vida.

Hantu Kak Limah bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 9 Ogos nanti.



Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @zul_ariffin, @glembotska