Pelakon Aeril Zafrel membidas khabar yang mendakwa dia tidak membenarkan isterinya, Wawa Zainal untuk berlakon dalam sesebuah drama atau filem.

Menurut Aeril, 30, dia tidak pernah menghalang isterinya untuk berlakon semula.

"Kalau ada tawaran yang sesuai untuk Wawa lakonkan, saya benarkan sahaja dia nak berlakon. Wawa yang malas untuk berlakon lagi.

"Sekarang ini, dia seronok menguruskan perniagaan kami. Alhamdulillah, hasil kerja keras Wawa selama ini mendapat sambutan yang baik," katanya kepada Gempak.

Namun begitu, dia lebih memberi galakan kepada Wawa untuk menguruskan perniagaan daripada berlakon kerana masa Wawa bersama anak-anak lebih teratur.

Aeril ditemui usai malam gala Anugerah Telenovela 2018 di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), pada Sabtu lalu.

Aeril baru sahaja memenangi anugerah Pelakon Lelaki Telenovela Terbaik menerusi karya Mandatori yang pernah ditayangkan di Astro First Eksklusif.


Teks: Noor Zulaikha Yusof