Selepas single Kisah Hati dan Sesal Separuh Nyawa, penyanyi Datin Alyah akhirnya muncul dengan single terbaru, Jutaan Purnama.

Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah binti Abu Hasan, 37, berkata, Jutaan Purnama merupakan single balada ciptaan bersama Hael Husaini, Omar K dan Ezra Kong.

Menurut Alyah, Jutaan Purnama merupakan sebuah lagu yang sarat dengan emosi, rasa cinta, rasa rindu dan rasa takut akan kehilangan orang yang tersayang.

"Saya suka dengan permainan emosi dalam lagu ini. Mesej dalam liriknya pun sangat jelas.

"Seumpama luahan rasa seorang wanita yang diuji dengan sangat hebat. Setianya dia menanti di sisi insan yang disayangi dalam menjalani liku-liku kehidupan," jelas Alyah.

Alyah ditemui di majlis pelancaran single terbarunya di Keriang Hill, Alor Setar baru-baru ini.

Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim turut berkenan hadir melancarkan single berkenaan.

Tambah Alyah, single ini adalah hadiah untuk peminat yang rata-rata telah memberikan reaksi positif sejak versi penuh lagu ini dilancarkan.

"Semoga ia memberi permulaan yang baik untuk kerjaya seni saya pada tahun ini," katanya.

Dalam muzik video rasmi Jutaan Purnama, Alyah sekali lagi menampilkan pelakon Remy Ishak sebagai gandingannya.



"Remy sudah saya anggap seperti sahabat saya. Dia merupakan seorang rakan yang baik. Senang untuk saya bergandingan dengan Remy," katanya lagi.

Muzik video rasmi Jutaan Purnama telah menjalani penggambaran di Tanah Rata Cameron Highlands, Pahang.

Single Jutaan Purnama boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes semenjak 6 April 2018.


Teks: Noor Zulaikha Yusof