Penyanyi Hael Husaini atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi kembali menggegarkan industri muzik tanah air sekali lagi dengan buah tangan terbaru iaitu Hajat.

Hajat merupakan lagu hasil ciptaannya sendiri, berkolaborasi penuh serasi bersama komposer Ezra Kong.

Satu persatu hajat telah dikecapi oleh Hael. Antaranya, lagu duet Haram bersama penyanyi terkemuka Dayang Nurfaizah merupakan antara hajat yang dipendamkan dan telah pun terlaksana serta membuahkan hasil di luar jangkaan.

“Syukur Alhamdulillah kerana satu-satu hajat saya telah tercapai setelah Jampi, kemudian Haram dan kini tiba giliran Hajat pula saya pertaruhkan untuk tatapan halwa telinga buat peminat saya dan penggemar muzik Malaysia.

"Sebenarnya, ketiga-tiga lagu ini ada kesinambungannya dan saya ciptakan kesemuanya bersama Ezra," katanya.

Bercerita di sebalik Hajat, Hael menterjemahkan dalam sisi yang berlainan kerana sebelum ini peminat-peminat sudah terbiasa dengan genre yang dia bawakan.

Kali ini, dia lebih mengganas! Hael mahukan sesuatu yang baru dan tidak pernah dibuat sebelum ini.

"Maksud Hajat sangat mendalam kerana ia merupakan pengakhiran kepada single-single terdahulu di mana saya 'mencincinkan’ seseorang dan ia merupakan permulaan kepada sesuatu yang baru.

"Ia sangat simbolik bagi saya kerana semua orang mahu mengecap kebahagiaan suatu hari nanti," katanya lagi.

Proses rakaman single ini hanya memakan masa selama dua jam sahaja.

Proses ini berjalan dengan mudah kerana Hael dan Ezra mempunyai pandangan yang sama dan masing-masing faham apa yang diperlukan untuk mencantikkan sesuatu ciptaan.

Selain sibuk mencipta lagu sendiri, Hael juga turut menjadi buruan artis-artis tempatan yang mahukan lagu-lagu gubahan dia.

Lagu Hajat boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Video lirik dan muzik lagu Hajat juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.


Teks: Noor Zulaikha Yusof