Bintang bertatahkan nama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Hollywood Walk of Fame dimusnahkan oleh seorang lelaki menggunakan tukul besi pada pagi Rabu.

Dakwa seorang saksi, jejaka itu disalah anggap seorang kontraktor binaan yang sedang bertugas di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, selepas tapak terbabit dimusnahkan, pihak berkuasa telah menahan seorang lelaki, Austin Clay, 24, yang dipercayai terbabit dengan vandalisme.

Jika disabitkan kesalahan, lelaki itu boleh didakwa sebanyak $20,000 (RM60,000) untuk ikat jamin.

Nama Donald Trump diabadikan di Hollywood Walk of Fame pada tahun 2007.

Bagaimanapun, bintang yang tertera nama Trump itu sering menjadi target protes dan vandalisme sejak bintang televisyen itu menceburi bidang politik.

Setelah kejadian itu, orang ramai dan pelancong yang kebetulan lalu di kawasan terbabit tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar.

Hollywood Walk of Fame merupakan kawasan yang popular dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara.

Selain Trump, ramai nama selebriti popular antarabangsa diabadikan di kawasan terbabit seperti Marilyn Monroe, Britney Spears, Johnny Depp dan ramai lagi

Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: CNN, NY Times