Pelakon Azrel Ismail enggan menggunakan gimik murahan untuk mengekalkan namanya dalam bidang hiburan.

Percaya ketentuan rezeki, Azrel lebih selesa untuk bertatih dan berusaha agar namanya semakin dikenali.

"Bercakap mengenai gimik, ada gimik yang sesuai dengan keadaan tetapi kebanyakan gimik akan mengundang kontroversi.
"Bagi saya, jika boleh saya mahu mengelak dari terlibat dengan gimik murahan untuk mengekalkan nama saya.

"Saya mahu berusaha dari bawah agar nama saya dikenali sebagai pelakon yang mempunyai kelebihan tersendiri," katanya.

Tambah Azrel, dia percaya dengan bakat yang dimilikinya dan berusaha untuk memperbaiki mutu lakonan.

"Saya percaya dengan bakat yang dimiliki dan tidak akan berhenti belajar. Setiap hari merupakan proses pembelajaran buat saya.

"Saya mahu terus fokus dan saya juga tak mahu cepat rasa puas dengan apa yang saya lakukan," katanya lagi ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Pulang di GSC Pavilion baru-baru ini.

Filem yang menampilkan lakonan Azrel bersama Remy Ishak, Puteri Aishah, Erwin Dawson dan ramai lagi ini mula ditayangkan dipawagam hari ini (26 Julai 2018).

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Azrel