Pelakon Datin Elvina Mohamad mengakui tidak mahu terlalu memanjakan anaknya yang bakal dilahirkan hujung tahun ini dengan kekayaan.

Menurut Elvina, dia mahu anaknya hidup dalam keadaan sederhana sama seperti orang lain walaupun suaminya, Datuk Haniff Borhan menikmati kehidupan senang.

"Bagi saya, biarlah anak yang bakal dilahirkan itu hidup dalam keadaan selesa dan membesar dengan sihat.

"Memanglah saya akan tatang bagai minyak yang penuh kerana ini adalah anak pertama kami tapi bukan bererti kami akan manjakannya dengan kemewahan.

"Biarlah kami memberi didikan yang cukup serta mendidiknya hidup secara sederhana.

"Ini kerana setiap ibu bapa pastinya mahukan yang terbaik untuk anak mereka," katanya kepada Astro Gempak.

Elvina berkahwin dengan Haniff pada 18 Mac lalu dengan sekali lafaz dan majlis pernikahan diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Elvina kini sedang hamil 24 minggu dan dijangkan melahirkan anak pertama pada hujung tahun ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram: Elvina Mohamad