Selepas dinobatkan sebagai Ratu Telenovela Serba Dinamik tahun lalu, drama dan filem lakonan Emma Maembong sekali lagi menggungguli pencalonan Anugerah Telenovela 2018.

Berdasarkan jumlah pencalonan daripada lebih 41 buah karya drama, telefilem dan filem tempatan, tiga karya lakonan Emma tersenarai untuk anugerah tersebut.

Tiga karya terbabit ialah drama Sayang Papa Saya Tak?, Awak Suka Saya Tak dan filem Kimchi Untuk Awak.

Selain Emma, aktres Siti Saleha dan Nur Fazura masing-masing tercalon menerusi dua drama dan telefilem.

Sementara itu, pelakon lelaki Aiman Hakim Ridza, Zul Ariffin dan Syafiq Kyle masing-masing tercalon dalam dua karya lakonan.

Daripada 41 karya yang bertanding, hanya lima buah filem adaptasi novel tersenarai untuk Anugerah Telenovela 2018.

Lima filem adaptasi novel itu ialah Tombiro: Penunggu Rimba, Bisik Pada Langit, Kimchi Untuk Awak, Kau Yang Satu dan Jibam.

Antara kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Telenovela 2018 ialah Pelakon Lelaki Popular Filem & Drama, Pelakon Wanita Popular Filem & Drama, Ratu Telenovela Serba Dinamik, Novel Popular dan Telenovela Popular.

Anugerah Telenovela ini dianjurkan sempena Festival Industri Kreatif yang akan berlangsung ‪dari 28 Julai ini menerusi live streaming ‬Viral TV Station bermula pukul 8 malam.

Teks oleh: Amri Hassan