Pelakon dan penyanyi Kaka Azraff melebarkan sayapnya ke Indonesia apabila mendapat tawaran berlakon filem di sana.

Filem yang dibintangi Kaka, 29, berjudul Zharfa The Movie, adalah arahan pengarah Ruliwanisar.

Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff berkata, penggambaran filem ini memerlukan dia berada lama di Indonesia kerana 80 peratus babak berlaku di Jakarta.

"Saya anggap tawaran ini sebagai peluang keemasan untuk mencabar dan menambah profil kerjaya seninya di Indonesia.

"Zharfa The Movie mengisahkan tentang anak jati Kuala Lumpur yang terpaksa berpindah ke Indonesia kerana mengikuti ibunya. Di situ bermula terjadinya konflik keluarga dan agama," katanya.

Bergandingan dengan pelakon Indonesia, Donny Alamsyah, filem ini akan ditayangkan pada bulan September ini di Malaysia dan diikuti di Indonesia.

Dalam perkembangan lain, Kaka baru sahaja melancarkan lagu terbaru berjudul Sibuk yang menampilkan rapper Alif.


Teks: Noor Zulaikha Yusof