Personaliti media sosial Singapura, Yeoh Mong Chin tidak menyangka bukan mudah untuk berenang seperti ikan duyung, malah memenantkan.

Ketika penggambaran program Who Runs The World, Mong Chin memberitahu pada mulanya dia sangat teruja untuk merasai pengalaman menjadi ikan duyung di Lombok, Indonesia namun serik selepas mencubanya.

“Saya tak sangka menjadi ikan duyung sesuatu yang sangat memenantkan.

“Ketika diberi peluang mempelajari berenang dan menyelam di sekolah pertama di dunia yang mengajar gaya renangan ikan duyung di laut saya pada mulanya teruja.

“Tetapi selepas melaluinya baru saya tahu ia memenantkan kerana siripnya sangat berat dan kita perlu sentiasa menggerakannya untuk kekal terapung.

“Lebih mencabar lagi saya perlu membuka mata di dalam air masin ketika menyelam. Ia amat memedihkan.

“Bagaimanapun ia momen yang berharga tak akan saya lupakan,” katanya kepada Astro Gempak.

Who Runs The World with Mong Chin merupakan rancangan enam bahagian berkonsepkan digital yang membawa penonton mengenali lebih lanjut tentang budaya Asia Tenggara.

Sebagai hos, Mong Chin melalui pelbagai aktiviti menarik di enam buah negara seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand dan Singapura.

Mengulas mengenai penggambarannya di Malaysia, dia akui bertuah dapat berjumpa dengan Nana Al-Haleq sebagai jurulatih kecergasan.

“Malaysia negara yang sangat cantik dan saya berpeluang menyertai acara larian terkemuka di bandar ini iaitu Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon.

“Sebelum itu, untuk memastikan tahap kecergasannya berada pada tahap memuaskan, saya dibantu dan dilatih oleh jurulatih peribadi dan usahawan, Nana Al Haleq.

“Saya kagum dengan Nana kerana dia sangat enjoy dalam melakukan senaman malah kata-katanya sangat memberi motivasi kepada saya,” katanya lagi.

Mong Chin akan mengembara ke seluruh Asia Tenggara untuk mencari lokasi-lokasi unik yang jarang dikunjungi pelancong.

Who Runs The World with Mong Chin bakal ditayangkan bermula 23 Julai, setiap hari Isnin, 9.30malam di LIFETIME Asia (Saluran Astro 709).
Teks oleh: Syafiqah Jalal