Aktres jelita, Rita Rudaini, 42, mempunyai pendapat bahawa kebahagiaan rumah tangga tidak diukur menerusi umur pasangan tetapi sejauh mana persediaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pasangan berkahwin.

"Tidak salah pun berkahwin dengan lelaki muda, asalkan si lelaki matang dan tahu erti perkahwinan itu apa. Bukan kahwin nak seronok, sebab tengok orang lain kahwin, demi kepentingan peribadi atau sebab keluarga suruh.

"Apa yang penting, pemikiran lelaki perlu bijak dalam mengatur kehidupan keluarga iaitu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang lelaki dan suami, menguruskan keluarga, isteri dan anak dan menjadi pelindung pada keluarga.

"Tidak semestinya lelaki muda tak boleh berkahwin. Ada juga lelaki berusia yang belum tentu matang pemikiran dalam hidup. Pokok pangkalnya bukan bergantung pada umur tetapi akal, pemikiran, sudah bersedia dan matang untuk memikul tugas berat," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak terkenal Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak ketika lelaki itu berusia 21 tahun pada 2008 tetapi berpisah pada 2013.

Dalam pada itu, Rita juga ingin membetulkan pandangan orang ramai yang sering beranggapan perkahwinan seseorang wanita dengan lelaki muda tidak akan bertahan lama.

"Semua orang silap apabila beranggapan berkahwin dengan orang muda mesti tidak bahagia. Kahwin dengan orang berduit juga mesti bercerai. Semua ini bergantung atas diri masing-masing.

"Orang yang berfikir sebegini memang tidak boleh berkahwin dengan orang muda dan tidak berduit kerana dari awal lagi sudah meletakkan kepercayaan sedemikian. Jangan fikir semua orang sama.

"Kebahagiaan ini datang dari pelbagai cara. Jika harmoni rumah tangga maka bahagia lah. Kalau nak keduanya, cari pasangan yang bijak dan matang berfikir dan sanggup menempuh ombak badai rumah tangga. Insya-Allah akan bahagia. Jadi, berkahwin dengan lelaki tua, muda, kaya atau tidak, memang takkan bermasalah," katanya.

Sumber: Harian Metro